
Sumba Burong bersama sebahagian pua kumbu yang dijual di rumah panjang Muna Entemang, Pengelayan Baram, kira-kira satu setengah jam menggunakan perahu dari Miri, Sarawak.
MIRI 17 Jan. – Walaupun tiada akses jalan raya dan jauh daripada kemodenan, namun kekurangan itu tidak pernah menghalang golongan wanita di tebing Sungai Baram untuk memperbaiki taraf hidup. Bagi wanita kaum Iban di Rumah Panjang Muna Entemang, Pengelayan, Baram, kepakaran mereka dalam menghasilkan kraf tangan seperti kain tenunan atau pua kumbu, menganyam tikar dan menjahit pakaian tradisional masih relevan sebagai sumber pendapatan. Bagi mereka, walaupun peluang pekerjaan semakin banyak berikutan kewujudan syarikat pembalakan, minyak dan gas di Miri, namun kegiatan menghasilkan kraf tangan masih diteruskan.
“Sebagai contoh, jika dulu nenek moyang dan ibu saya menenun pua kumbu untuk digunakan sendiri. Semuanya disimpan sebagai koleksi dalam almari dan diwariskan dari satu generasi ke satu generasi tetapi kini dijual sebagai hasil pendapatan,” Demikian ujar Sumba Burong, 72 ketika ditemui Utusan Malaysia di Pengelayan, kira-kira satu jam setengah menggunakan perahu panjang dari Miri. Sumba merupakan salah seorang pengusaha pusat kraf tangan yang mendapat latihan dan bimbingan di bawah projek Jabatan Pertanian. Dia pernah mengikuti kursus tenunan di Kapit selain seminar dan dialog pembangunan dan karyawisata. Selain menghasilkan pua kumbu, wanita ini mempunyai kemahiran dalam menganyam tikar bemban bermotif atau tikai anyam buah yang berwarna-warni. “Tikar bemban bermotif ini amat sinonim dalam masyarakat Iban. Keunikannya bukan hanya terletak pada motif yang ditonjolkan, namun ia sering dijadikan alas tidur kerana permukaan tikar yang sejuk. Secara tradisi tikar bemban akan menjadi hamparan di setiap ruai rumah panjang apabila ada sesuatu majlis randau, keramaian atau hamparan kepada tetamu yang berkunjung ke rumah panjang,” katanya yang mewarisi kemahiran menganyam dari ibunya sejak kecil lagi. Dengan adanya usaha kerajaan mempromosikan kraf tangan, tikar bemban kini menjadi salah satu produk kraf tangan yang mendapat sambutan dan mempunyai nilai di pasaran.
Menurut Sumba, tidak sukar mendapatkan pokok bemban kerana tumbuhan liar itu tumbuh subur di hutan berpaya dan banyak terdapat di Sarawak. ‘‘Pokok bemban yang baru diambil dibuang kulitnya kemudian diwarna dan dijemur. Selepas beberapa hari, bemban tadi dibelah menjadi bilah-bilah halus untuk dianyam mengikut motif yang digemari,’’ katanya. Menurut Sumba, setiap tikar bemban bermotif mengambil masa sehingga sebulan untuk disiapkan bergantung kepada saiz dan motif yang digunakan. Selain tikar, dia menghasilkan bakul dan pua kumbu, kesemuanya dilakukan serentak pada masa sama. “Biasanya, sementara menunggu bilah bemban kering, saya akan menenun pua kumbu dan begitulah sebaliknya. Jika tempahan banyak, saya akan mengupah wanita di rumah panjang ini,” katanya. Sumba menambah kebanyakan kraf tangan yang dihasilkan dijual kepada pemborong dari Miri selain dari Kuala Lumpur.
Antara produk yang paling laris adalah alas meja, beg duit, baju tradisional yang diperbuat daripada pua kumbu. Produk ini dijual semurah RM15 sehingga ratusan ringgit bergantung kepada saiz. “Melalui projek kraf tangan ini, ia banyak membantu golongan wanita menambah sumber pendapatan dan pada masa yang sama memelihara warisan nenek moyang seperti pua kumbu dan tikar bemban bermotif.” Kata-kata Sumba memang tepat kerana hasil kraf tangan itu dia mampu meraih keuntungan sekitar RM700 hingga RM1,000 setiap pesanan. “Dengan adanya sokongan kerajaan terutama dari segi promosi dan jualan, saya optimis penghasilan kraf tangan ini mampu menaik taraf status sosio ekonomi wanita di pedalaman. Berada di ulu sungai yang tiada kemudahan kini bukan satu halangan atau alasan. Selagi produk yang dihasilkan berkualiti, pasaran tetap cerah,” katanya. Lika Murong, 80, iaitu kakak kepada Sumba berkata, dia mendapati pua kumbu masih mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pembeli khususnya pelancong.
Dia yang menenun pua kumbu sejak berusia belasan tahun menambah, hasil jualan kraf tangan berjaya mengurangkan sedikit sebanyak beban hidup mereka terutama bagi keluarga yang tidak mempunyai sumber pendapatan tetap. Selain Miri dan Kuala Lumpur, kraf tangan yang dihasilkan di situ turut dipasarkan ke Marudi dan bandar-bandar lain seluruh Sarawak.
Ask us for an English translation!
